Menyambut
hari raya adalah ibadah dalam Islam. Aidilfitri merupakan hari kejayaan dan
kegembiraan bagi setiap orang mukmin yang telah berjaya menjalani kursus
intensif di madrasah Ramadhaniah selama satu bulan.
Berikut
adalah beberapa perkara sunnah ketika menyambut ketibaan bulan Syawal, agar
Aidilfitri yang kita raikan benar-benar diterima sebagai ibadat di sisi Allah.
1) Bertakbir
.
Umat Islam disunatkan bertakbir pada
Aidilfitri bermula daripada malam raya sehingga imam mengangkat takbiiratul
ihram untuk solat sunat hari raya. Bagi Aidiladha, ia disunatkan bermula
selepas solat subuh 9 Zulhijjah sehingga selepas asar hari ke 3 tasyriq (
menurut tarjih Imam Nawawi ). Umat Islam sangat digalakkan untuk
memahami dan menghayati setiap ungkapan takbir yang dilaungkan. Ia sarat
mengandungi makna keagungan dan keesaan Allah, serta kebenaran janji-Nya untuk
memberi pertolongan kepada orang-orang mukmin. Bahkan ia juga mengingatkan kita
peristiwa Perang Ahzab, di mana Allah telah memporak-perandakan tentera Barisan
Ahzab dengan kekuasaanNya.
2) Mandi
sunat , memakai pakaian yang terbaik dan berwangi-wangian.
Imam Hakim telah meriwayatkan bahawa
Hassan bin Ali bin Abi Talib r.a. berkata : ”Rasulullah s.a.w telah
memerintahkan kami pada kedua-dua hari raya supaya memakai sebaik-baik pakaian
yang kami miliki, menggunakan wangian yang paling baik dan menyembelih binatang
korban yang paling berharga (mengikut kemampuan)” ( Mustadrak Hakim ; 4 / 230
). Manakala mandi sunat hari raya pula, tidak ada sebarang hadis yang sahih
tentangnya, tetapi terdapat beberapa ( آثار ) daripada para sahabat r.a. Di antaranya adalah ungkapan
Abdullah ibnu Abbas r.a : ”Rasulullah s.a.w sentiasa mandi pada hari Aidilfitri
dan Aidiladha”( riwayat Ibnu Majah : no 1315 ). Menurut Sheikh
Naasiruddin di dalam kitabnya Irwa’ul Ghaliil, katanya ”sebaik-baik dalil
tentang sunatnya mandi pada hari raya ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam
Baihaqi di mana Saidina Ali r.a telah ditanya oleh seorang lelaki tentang
mandi, lantas beliau menjawab : Mandilah setiap hari kalau kamu kehendaki.
Lelaki itu berkata lagi : Aku maksudkan mandi yang betul-betul mandi (mendapat
pahala). Ali menjawab : Hari Jumaat , hari Arafah , hari raya Aidiladha dan
Aidilfitri.” ( Irwa’ul Ghaliil : 1 / 176 ).
Justeru,
wujudkanlah suatu persekitaran ibadah di dalam rumah masing-masing. Apabila
hari raya menjelang tiba, anak-anak perlu diingatkan untuk melakukan
perkara-perkara ini sebagai suatu bentuk ibadah. Walaupun ia dilihat kecil
tetapi ruh ibadah ini akan membawa kepada keberkatan dalam keluarga.
3) Makan
sebelum keluar rumah.
Imam Bukhari telah meriwayatkan bahawa
Anas bin Malik berkata ”Rasulullah s.a.w tidak keluar dari rumah baginda pada
hari Aidilfitri, melainkan baginda makan dahulu. Baginda makan beberapa biji
kurma dalam bilangan ganjil (bukan genap)” ( Bukhari ; no 2 / 21 ). Oleh itu
sebaik-baik makanan pada pagi tersebut adalah kurma kerana menepati 2 sunnah
iaitu sunnah makan terlebih dahulu dan sunnah memakan kurma. Walaubagaimanapun,
tidaklah menjadi suatu kesalahan untuk memakan selain kurma, kerana ianya tetap
mendapat pahala makan sebelum keluar dari rumah. Insya Allah.
4) Pergi
ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri dan pulang dengan melalui jalan
yang berbeza.
Jabir bin Abdullah r.a menceritakan
bahawa pada hari raya, Rasulullah s.a.w menggunakan jalan yang berbeza. (
Bukhari ; no 2 / 29 ). Abu Hurairah juga turut menyatakan ”Setiap kali hari
raya, Rasulullah akan pergi menunaikan solat hari raya, kemudian baginda pulang
melalui jalan yang berbeza ” ( Ahmad : no 2 / 338 Tarmizi 2 / 541 ). Justeru,
usahakanlah untuk menghidupkan sunnah ini, semoga kesungguhan kita memilih
jalan berbeza untuk pulang ke rumah semata-mata kerana menuruti Rasulullah
s.a.w, bakal menambahkan kasih kita kepada baginda s.a.w.
5) Islamic
greeting pada hari raya.
(TAQOBBALALLAHU
MINNAA WA MINKUM )
Jubair bin Nufair r.a berkata ” Apabila
para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu sesama mereka pada hari raya, mereka
saling mengucapkan:
تقبل
الله منا و منكم"
(moga-moga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian
semua)
(Ibnu Hajar–Fathul Baari 2/517 )(Sheikh Naasiruddin–Tamaamul Minnah–354).
Namun begitu, tidak ada sebarang larangan untuk kita
mengungkap ”maaf zahir batin” atau ”selamat hari raya”, tetapi sebagai umat
yang sentiasa ingin menjadikan generasi para sahabat sebagai contoh, maka
utamakanlah ungkapan yang diamalkan oleh para sahabat ini, kemudian diikuti
adat masyarakat setempat. Semoga Allah menempatkan kita bersama para sahabat baginda
di akhirat kelak.
6) Solat
sunat hari raya dan mendengar khutbah
Umat Islam disunatkan melakukan solat
sunat pada kedua-dua hari raya secara berjemaah dan mengambil iktibar daripada
khutbah yang disampaikan. Para imam berkewajipan mengingatkan umat Islam akan
kebesaran Allah dan menimbulkan rasa kesyukuran kerana telah berjaya
menundukkan hawa nafsu sepanjang Ramadhan serta menasihatkan ummah agar
sentiasa istiqamah dengan ketaatan dalam 11 bulan seterusnya. Begitu juga para
imam perlulah menggalakkan masyarakat agar berkongsi kegembiraan hari raya ini
dengan golongan fakir miskin dengan memberi zakat dan bersedekah kepada mereka.
Sebaiknya juga, ketika berkhutbah imam menafsirkan makna takbir yang dilaungkan
supaya kisah pertolongan Allah di dalam Perang Ahzab sentiasa menjadi ingatan
umat Islam dalam menghadapi cabaran menjaga agama mutakhir ini.
Kredit : Ustaz Syed Norhisyam Al-Idrus
Terima kasih atas tips. Sy mohon izin guna poster ni ya. TQ
ReplyDelete