Thursday, 8 December 2011

CINTA ITU BERERTI MEMBERI!

“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.”
(orang yang memberi itu lebih baik daripada orang yang menerima)

Yakinilah, sikap memberi adalah terapi, ubat dan penawar kepada penyakit-penyakit hati. Sebab itu bijak pandai mengungkapkan:
“Memberi lebih gembira daripada menerima.”

Intailah hari-hari yang berlalu dalam kehidupan sehari-hari. Pada hari yang ceria dan gembira itulah hari yang kita lebih banyak memberi berbanding menerima.

Untuk merasa gembira gembirakanlah orang lain. Sebab itu senyuman itu ada dua:
Pertama, senyum kerana gembira.
Kedua, senyum untuk menggembirakan.

Senyum untuk menggembirakan itulah yang lebih tinggi nilainya seperti yang disebut dalam hadis:
“Senyum simpulmu di hadapan saudaramu adalah satu sedekah.”

Senyum yang pertama kerana mendapat kegembiraan.
Manakala senyuman yang kedua kerana hendak memberikan kegembiraan.
Orang yang sentiasa berfikir untuk menggembirakan orang lain insya-Allah akan sentiasa dibukakan pintu kegembiraan buatnya oleh Allah swt.

Bijak pandai sering mengingatkan bahawa kita tidak akan bahagia selagi orang di samping kita tidak bahagia.
Ertinya, kebahagiaan kita hanya apabila kita berusaha membahagiakan orang lain.

Berikanlah apa yang Allah berikan kepada kita kerana di sana ada hak orang lain yang diamanahkan kepada kita.
Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya.
Ya, kita yang memerah keringat.
Ya, kita yang penat berfikir.
Tetapi dengan tenaga siapa kita berusaha?
Tangan, kaki, bahu dan segala pancaindera itu hakikatnya milik siapa?
Semua itu bukan milik kita. … segala-galanya pemberian Allah.
Kita bukan pemilik, kita hanya peminjam.
Sebagai khalifah, kita memikul amanah untuk memberi kebaikan dengan segala kebaikan yang kita terima.
Allah memberi untuk kita memberi.

Cinta itu bererti kita bersedia untuk memberi… bukan untuk menerima!
Siapa yang lebih cinta dialah yang lebih banyak memberi. Jika kurang, berkuranglah cinta. Bila kurang rasa cinta, tergugatlah perpaduan dan rengganglah perpaduan. Oleh itu hidup ini adalah untuk memberi bukan sebaliknya.

Manusia memikul peranan sebagai khalifah di muka bumi. Tugas khalifah itu adalah untuk memberi kebaikan – buat diri sendiri, orang lain dan persekitaran. Hanya dengan itu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan material, keamanan dan keampunan Tuhan.

“Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.”

Kredit: Genta Rasa

No comments:

Post a Comment