Monday, 27 February 2012

ITQAN DALAM BEKERJA

Islam juga menggalakkan umatnya untuk bekerja dengan penuh tekun dan profesional. Hal ini disebut dengan istilah itqan yang membawa maksud tekun, teliti, cermat dan kemas.

Kerja yang sungguh-sungguh menggambarkan kesempurnaan iman dan taqwa, ketulusan hati, keluhuran budi dan kemuliaan akhlak yang semua sifat-sifat ini akan dikira oleh Allah dalam menentukan amal hambaNya diterima atau sebaliknya.

Konsep itqan dalam bekerja ini dapat dilihat melalui kehidupan peribadi Rasulullah saw sendiri dalam semua hal sama ada urusan ibadat mahupun urusan-urusan lain.

Diriwayatkan oleh A’isyah r.a bahawa Rasulullah saw beribadat diwaktu malam sehingga bengkak tumitnya. Begitu juga dalam masa peperangan Khandak, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dari al-Barra’, bahawa Rasulullah saw memunggah pasir dari kubu-kubu sehingga tertutup kulit perut baginda, bahkan baginda sanggup mengikat perut baginda dan diselit dengan batu-batu untuk menahan lapar ( al-Buthi, 1991).

Prinsip yang menuntut manusia supaya melaksanakan sesuatu amal atau kerja dengan cara yang bersungguh-sungguh, melakukannya dengan sebaik-baiknya, serius dan bukan main-main sehingga tercapai perkhidmatan dan pengurusan yang cemerlang. Sifat seperti ini menjadi tuntutan Islam sebagaimana maksud hadis Rasulullah saw;

“Allah sangat menyukai mana-mana hambaNya yang bila melakukan sesuatu kerja dilakukannya dengan sungguh-sungguh”. [HR: Baihaqi, sanadnya "Hasan"]

Meskipun Islam menuntut umatnya agar tekun dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan namun janganlah ia menjadi penghalang atau membuatkan mereka lalai dari melaksanakan ibadat-ibadat khusus (wajib) kepada Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan perdagangan dari mengingati Allah.” (Al-Quran, al-Nur,24:37)

2 comments:

  1. alhamdulillah, terima kasih atas artikelnya !

    ReplyDelete
  2. comel. maaf, mohon share utk pembelajaran anak2. terima kasih

    ReplyDelete