Monday 27 February 2012

‘UBUDIAH DALAM KERJA

Bekerja semata-mata kerana Allah dengan meletakkan setiap kerja yang dilakukan sebagai ibadah yang akan memperolehi ganjaran pahala di akhirat.
’Bekerja’ akan mencapai tahap ibadah apabila dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.

SYARAT PERTAMA- Niat Yang Ikhlas

Niat yang ikhlas di dalam kerja adalah syarat paling utama yang menjadi roh kepada amal untuk dikira sebagai ibadah.

Niat dalam bekerja hanya kerana Allah, bekerja bukan kerana yang lain, bukan kerana pangkat, gelaran, pujian, sanjungan atau kepentingan peribadi dan sebagainya melainkan hanya keranaNya semata-mata dengan harapan untuk mendapat keredhaanNya, itulah yang dikatakan niat yang ikhlas.

{Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan ikhlas kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus.} [Al-Bayyinah: 5]

Allah swt berfirman:

Maksudnya: {Sesungghunya kamu pasti merasakan azab yang pedih. Dan kamu tidak diberi pembalasan melainkan terhadap kejahatan yang telah kamu kerjakan. Kecuali hamba-hamba Allah yang ikhlas. Mereka itu memperolehi rezeki yang tertentu. Iaitu buah-buahan dan mereka adalah orang yang dimuliakan.} [Al-Saffat:38-42].

Ikhlas adalah suatu persoalan urusan hati yang sangat sukar dicapai, hanya kita mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah agar amal dan kerja dengan kekurangan dan kelemahan yang ada diterima Allah dan tidak menjadi kerja yang sia-sia.

SYARAT KEDUA- Halal

Pekerjaan yang dilakukan tidak melanggar atau bercanggah dengan hukum syarak; maksudnya bentuk, rupa atau nature kerja itu HALAL di sisi Allah.

“Mencari sara hidup yang halal adalah satu kewajipan di samping kewajipan-kewajipan yang difardhukan.” (Diriwayatkan oleh al-Tabrani dan al-Baihaqi)

Sebarang kerja yang haram sekali pun niat orang yang melakukannya baik tidak layak dikatakan bekerja kerana Allah dan bukan suatu bentuk ubudiah kepadaNya.

“Orang yang paling kecewa (rugi) pada hari kiamat kelak ialah orang yang mencari harta secara tidak halal lalu ia masuk ke neraka bersama-sama hartanya.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

SYARAT KETIGA- Selaras Dengan Prinsip-Prinsip Syariat Dan Akhlak Islam

Perlaksanaan kerja hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip syariat dan akhlak Islam seperti amanah, adil, bertanggung jawab dan sebagainya dan menepati kaedah atau cara yang ditentukan oleh syarak contohnya kerja dimulakan dengan bismillah atau doa dan lain-lain.

SYARAT KEEMPAT- Amalan atau kerja hendaklah dilakukan seelok-eloknya dan sebaik mungkin.(Syarat ini akan dijelaskan di bawah tajuk itqan)

SYARAT KELIMA-  Bekerja jangan sampai mengganggu atau melalaikan ibadah pokok seperti solat, puasa dan sebagainya.

Zahir dan batin manusia tidak boleh dipisahkan. Perlakuan zahir adalah buah atau kesan dari dalaman atau batin. Bagi memperbaiki amal, ia perlu dimulakan dengan memperbaiki dalaman atau jiwa dengan memupuk keimanan dan ketaqwaan dan menyuburkan dan membersihkan jiwa dengan ibadah; wajib dan sunat.

Iman dan taqwa menjadi pelindung kepada diri dari melakukan sesuatu yang tidak wajar atau maksiat kepada Allah termasuk dalam urusan kerja atau profesion dan ketika itu mungkin Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai institusi yang bertanggungjawab menilai dan memantau pelaksanaan pelan integriti nasional yang dirancang tidak lagi diperlukan. Begitu juga dengan SPRM, Jabatan Audit Negara, Biro Pengaduan Awam dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment