Sunday 1 January 2012

Sekolah Hidup..



 “Anak awak dapat berapa “A”?”
“Dapat sambung belajar kat sekolah/U mana?”

Itu adalah soalan cepu emas yang sering ditanya sebaik sahaja dapat keputusan peperiksaan. Ibu bapa akan sibuk melayan panggilan telefon saudara-mara dan kawan-kawan yang prihatin tentang keputusan peperiksaan anak-anak. Kalau UPSR dapat “5A”.. PMR “8A”.. SPM “9A”.. STPM “5P” tak perlu ditanya.. bagitahu semua orang. Jika sebaliknya, ada anak yang akan dimarahi sebab ibu bapa segan hendak jawab apabila ditanya. Anak-anak pulak berkurung di dalam bilik sebab rasa diri telah ‘gagal’.. sehinggakan ada juga anak yang buat keputusan “bunuh diri” sebab dia dah hancurkan impian dan telah malukan ibu bapa yang disayangi..

Semua ini kerana masyarakat pada hari ini terlalu memandang tinggi keputusan peperiksaan. Menggantung harapan yang tinggi kepada anak-anak supaya menjadi pelajar yang terbaik tanpa mempedulikan perasaan anak-anak dan segala usaha dan pengorbanan yang telah anak-anak lakukan sepanjang tempoh belajar.

Kadang-kadang saya rasa kasihan melihat anak-anak yang telah kehilangan dunia kanak-kanak mereka kerana masa hanya digunakan untuk belajar. Usai waktu persekolahan sambung pula ke kelas tambahan pada waktu petang dan malam. Hari Minggu juga digunakan untuk kelas tambahan dan pelbagai aktiviti berkaitan pembelajaran.

Di dalam hidup kebanyakan kita pada hari ini ada yang mengutamakan kecemerlangan pelajaran anak-anak kerana menganggap ia adalah tiket jaminan kejayaan hidup pada masa hadapan. Kita tidak sedar kita telah meletakkan di dalam fikiran kita unsur material; hanya duit semata-mata. Cemerlang akademik bermakna gaji besar. Kerjaya yang profesional akan membuka ruang untuk berkawan baik dengan orang berpengaruh. Itu juga kerana duit atau sekurang-kurangnya mudah jika memerlukan "pertolongan".

Seharusnya kita sedar tidak semestinya anak-anak yang berjaya dalam pelajaran akan berjaya dalam hidup. Apabila kita sebagai ibu bapa meletakkan berjaya dalam hidup ialah berjaya dalam pelajaran kita akan “bebankan” anak-anak sehingga kita abaikan pelajaran utama iaitu pelajaran hidup.

Corak kehidupan hari ini sungguh menakutkan kerana manusia berlumba-lumba mengejar material. Fahaman materialism menyebabkan kita tidak mementingkan perasaan orang lain. Kepentingan diri adalah segala-galanya. Malah ada yang lebih teruk di mana kepentingan diri sendiri mesti diutamakan berbanding kepentingan anak-anak, isteri/suami atau keluarga sendiri. Biarlah apa juga bakal terjadi kepada anak-anak, isteri/suami atau keluarga yang penting diri sendiri sentiasa selamat dan gembira. Dengan anak-anak, isteri/suami dan keluarga pun sudah tidak ambil peduli, bagaimana dengan masyarakat, dengan bangsa dan agama?

Sebagai ibu bapa pada zaman hari ini, teknologi berkembang dengan pesat baik dari segi sains teknologi atau sains sosialnya tetapi kita tetap perlu berpegang kepada kenyataan hidup yang azali iaitu berjaya dalam hidup mesti ada ketiga-tiga bahagian di dalam kehidupan kita:

Intelligent Quotient(IQ)+Emotional Quotient(EQ)+Spritual Quotient(SQ)


IQ menjadikan manusia hebat namun jika tidak adanya EQ, manusia menjadi lebih teruk daripada haiwan.

Namun jika manusia mempunyai IQ dan EQ yang cerdas tetapi tidak mempunyai SQ yang cerdas, maka sudah pasti segala apa yang dilakukan semuanya hanya untuk kepentingan yang terselindung. Ini bermakna IQ dan EQ semata-mata tidak cukup. Manusia harus dipimpin dengan SQ.

Apabila SQ baik dan diri kita sentiasa ingat Allah setiap saat, pasti EQ kita mampu dikawal dengan baik. Kita dapat memahami bukan hanya manusia bahkan haiwan dan alam sekeliling dengan baik.

Dan apabila SQ dan EQ berada di tahap yang cerdas, pasti IQ juga cerdas. Jiwa sentiasa positif, jiwa sentiasa tenang, jiwa sentiasa ingat Allah maka sudah pasti segala apa yang anak-anak kita pelajari mudah difahami, mudah ingat dan mudah diaplikasikan.


InsyaAllah anak-anak kita akan cemerlang di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment