Thursday 3 November 2011

"1 Litre of Tears"


1 Litre no Namida (1リットルの涙 Ichi Rittoru no Namida⁠)"1 Litre of Tears" juga dikenali sebagai A Diary with Tears atau A Diary of Tears merupakan drama TV Jepun untuk Fuji Television yang merupakan kisah sebenar Aya yang berusia 15 tahun yang menghidap penyakit ataksia spinoserebelar dan meneruskan kehidupannya sehingga berusia 25 tahun. Skrip drama ini diambil dari catatan diari Aya yang ditulis sepanjang berperang dengan penyakitnya sehinggalah beliau gagal memegang pen.

Drama ini dimulakan dengan kehidupan baru Aya sewaktu melangkah ke semester baru. Dalam kegembiraannya, beliau mula mendapat beberapa kesukaran secara fizikal yang mana hanya disedari oleh ibunya. Walau bagaimanapun, suatu hari, beliau jatuh rebah di atas lantai dan ketika itulah, penyakitnya mula dikesan.

Kehidupan cinta pertamanya bersama Yuji musnah apabila Yuji seakan-akan tidak dapat menerima kenyataan bahawa kekasihnya cacat. Akibat herdikan rakan-rakan sekeliling, Yuji membuat keputusan untuk memutuskan hubungannya dengan Aya. Aya meneruskan kehidupannya dan bermulalah tarikannya kepada rakan sekelasnya yang pendiam tetapi mengambil berat akan dirinya, Haruto. Haruto terus-menerus memberi galakan kepada Aya untuk terus berjuang dan dalam diam, mereka berdua menyimpan perasaan terhadap satu sama lain. Percintaan mereka dihalang oleh ayah Haruto yang juga seorang doktor di hospital tempat Aya mendapatkan rawatan.

~ Purple Gifts tak jemu ulang tengok cerita Aya.. Semangat juang meneruskan kehidupan.. Aya tidak berputus asa tetapi semangat Aya selalu membara. Setiap cabaran yang datang diterima dengan senyuman dan keyakinan bahawa hidup perlu diteruskan dengan lebih baik dari semalam...
~Ahli keluarga yang saling menyayangi.. Kasih sayang ibu tiada nilainya. Pengorbanan ibu dan sokongan ibu menguatkan Aya untuk meneruskan kehidupan walaupun Aya tahu dia akan meninggalkan ibu dan keluarganya yang tersayang..
~Persahabatan yang sebenarnya dapat kita fahami apabila kita berada di dalam kesusahan. Seorang sahabat akan berada disisi sewaktu suka dan duka. Tempoh persahabatan bukanlah ukuran untuk mengenali hati budi seseorang yang mengaku sahabat baik kita.. Lihatlah sewaktu susahmu, adakah sahabatmu sabar menemani dan mengurangkan bebanan yang sedang kamu tanggung.. Jika benar, hargailah kerana dia adalah sahabat kamu yang terbaik.
~Semua orang boleh mencintai dan dicintai. Cinta boleh memberi kekuatan dan sedikit sebanyak menjadi penawar yang boleh menyihatkan seseorang yang sebenarnya sedang bergelut dengan kematian. Hargailah cinta dan kasih sayang yang kamu miliki kerana bukannya semua orang berpeluang untuk mencintai dan dicintai seperti dirimu...
~Lihatlah kesusahan orang lain, kamu akan melafazkan syukur dan berterima kasih kepadaNya di atas segala nikmat yang kamu ada.. Kamu sangat bertuah.. Kamu mempunyai kehidupan yang jauh lebih baik.. Janganlah kamu terlalu mengagungkan orang lain yang kamu anggap lebih baik kerana ia hanya akan menyebabkan kamu lupa, lalai dan selalu merungut. Menjadi sombong dan angkuh.. Malahan kamu semakin lupa kepada tanggungjawab kamu sebagai hambaNya.. Dia akan menguji hamba yang disayangiNya agar hambaNya semakin dekat kepadaNya. Mengadu dan lebih kerap berkomunikasi kepadaNya.. Muhasabah diri..
~Selagi mempunyai ruang dan peluang, bersyukurlah dan hargailah segala-gala yang kamu miliki sebelum Dia menariknya daripada kamu. Sayangilah orang disisi kamu. Jadilah sahabat yang terbaik.. Berikanlah kebahagiaan kepada insan yang kamu kasihi.
~Jangan putus asa...

P/s : Terima kasih kepada sahabat Purple Gifts sudi perkenalkan kisah kehidupan yang sangat istimewa dan bermakna agar diri ini sentiasa mensyukuri nikmatNya..
Dua ujian dariNya yang sering kita lupa untuk bersyukur ialah nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang..
Alhamdulillah.. Terima Kasih ALLAH..

No comments:

Post a Comment