Tuesday 8 November 2011

Sebotol harganya berapa?


Sedang asyik melihat botol-botol koleksi minyak wangi yang tersusun menyebabkan saya terfikir kenapa saya simpan botol yang kosong. Sayang kalau dibuang sebab botolnya cantik? Tapi bukannya boleh digunakan pun. Berapakah nilai sebenar botol-botol yang kosong ini kalau dijual. Adakah yang ingin membeli? Penggemar koleksi botol mesti akan membeli. Tapi berapa nilai botol yang sebenarnya?
Botol murah atau botol mahal? Harga botol bergantung kepada bahannya. Biasanya botol diperbuat daipada material seperti plastik dan kaca.

Kalau direnungkan kembali, botol itu akan lebih berharga apabila ia mempunyai isi kandungan. Harga botol sebenarnya bergantung kepada bahan yang ada di dalamnya. Kini harga botol kosong akan dinilai berasaskan isi kadungan yang diisi.
► Kalau diisi dengan SOS nilainya sekitar RM2-RM3
                                       
► Kalau diisi dengan MADU nilainya meningkat kepada RM30-RM100
► Kalau diisi dengan MINYAK WANGI nilainya semakin meningkat kepada RM300 dan ke atas.
Kreativiti juga akan membolehkan harga botol semakin meningkat. Tambah nilai botol akan bertambah mengikut pemikiran kita yang sentiasa bersaing mencipta kelainan untuk mendapatkan pasaran yang lebih eksklusif. Menambah nilai dengan tambahan batu-batu Swarovski dan rekaan bentuk yang istimewa.
Itu semua adalah harga dan nilai yang diberi oleh manusia di dunia ini.

Harus diingat... Botol kaca atau kristal mudah pecah. Berhati-hati dan peganglah dengan cermat agar botol anda yang mahal tidak terhempas dan berkecai. Nilainya akan kembali kosong. Bukan sekadar tiada nilai tetapi kaca yang pecah juga amat membahayakan.

Begitulah juga diri kita sebagai makhluknya. Manusia atau khalifah di muka bumi ini tanpa pengisian yang sebenarnya seumpama botol kristal hiasan yang indah tetapi kosong tanpa isi. Alangkah ruginya!

Bertambah rugi dan malang sekali kalau kita menjadi botol yang pecah. Bukan sahaja tidak bernilai tetapi akan dibuang kerana menjadi ancaman kepada orang ramai di sekelilingnya.


Semoleknya kita isi diri kita dengan amalan soleh dan sentiasa mengikut sunnah Nabi SAW. Hiasi diri kita dengan bacaan Al-Quran dan berusaha untuk meningkatkan nilai ilmu agama yang masih banyak ruang kosong di dalam diri untuk di isi dari semasa ke semasa. Pengisian sebegini akan menjadikan nilai diri kita semakin bertambah dan ganjarannya adalah berlipat kali ganda. Ia bukan sahaja berguna sepanjang kehidupan di dunia ini tetapi ia adalah bekal untuk kita di akhirat nanti.


Wallahu'alam.

P/s : Ada teladan dan ilmu pada setiap makhluk, objek, kejadian dan semua ciptaanNya untuk kita perhalusi sebagai pengisian sepanjang kehidupan di dunia ini. 

No comments:

Post a Comment