Sunday 6 November 2011

IBU


بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Diriwayatkan ada seorang lelaki datang kepada Nabi dan bertanya: "Siapakah yang lebih berhak saya layani dengan baik? Nabi menjawab: IBUmu! Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Nabi menjawab: IBUmu! Dia bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: IBUmu! Dia bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: AYAHmu!" (Riwayat Bukhari & Muslim).

Tingginya martabat seorang Ibu.. Kita sebagai anak telah diamanahkan untuk menjaga dan melayani Ibu dengan baik.. Namun ibu tidak mengharapkan anak-anak menjaganya sehingga tidak boleh keluar dari rumah.. Tidak boleh tinggalkan kampung halaman untuk bekerja, berkeluarga..Ibu tidak mengharapkan apa-apa pun dari anak-anak melainkan melihat kebahagiaan anak-anak. Anak.. Kita tidak akan dapat membalas segala jasa ibu tetapi kita seharusnya menjaga hati dan perasaan Ibu.

Tahukah kamu wahai anak.. Martabat Ibu adalah kedua tertinggi selepas mentaati Allah. Kenapa begitu tinggi martabat Ibu? Bukakanlah mata hatimu, sedarlah bahawa peranan Ibu sangat besar di dalam kehidupan kita. Mengandungkan kita adalah peranan terbesar Ibu. Bayangkan kesakitan Ibu ketika melahirkan anak.. Darah yang tumpah.. Mempertaruhkan nyawa demi anak yang bakal dilahirkan.. Hebatnya Ibu melalui semuanya dengan tenang dan tersenyum bahagia setelah melihat anak yang dilahirkan.. Percayalah, lelaki tidak mampu memikul tanggungjawab yang berat ini melainkan Ibu..

Allah telah memberi hak yang istimewa kepada Ibu. Syurga kita terletak di bawah telapak kaki Ibu. Menderhaka kepada ibu dan bapa adalah dosa besar. Ingatlah wahai anak, kita tidak akan dapat mencium bau syurga meskipun kita telah melakukan amal ibadat yang lain.

Sebagai anak, kita seharusnya sentiasa mengasihi dan mendoakan kesejahteraan Ibu. Walaupun kita telah dewasa, berkahwin dan telah mempunyai anak sendiri, Ibu adalah Ibu yang perlu ditaati dan dilayani dengan baik. Tanggungjawab kepada ibu tidak pernah putus atau gugur walaupun syurga seorang isteri terletak di bawah telapak kaki suami.

Bersyukurlah kerana masih ada Ibu disisi. Keberkatan hidup kita adalah kerana doa daripada Ibu. Tanpa kita ketahui, Ibu sentiasa berkorban untuk kebahagiaan anak-anak. Pengorbanan Ibu yang hampir setiap masa mendoakan kita dalam jaga dan juga dalam tidurnya. Tanpa jemu, tanpa putus asa.. Ibu mahukan yang terbaik buat anak-anak.

Sedarkah kita bahawa kita telah melukakan hati Ibu. Ibu telah menangis di dalam hatinya kerana merindui dan mengenangkan kita. Ibu mengerti anaknya kini mempunyai tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Tetapi sebagai anak, dekatkanlah Ibu di hati. Hubungilah Ibu.. Pulanglah untuk menemui Ibu.. Jagalah hati Ibumu.. Dan, cubalah anak renung dan tataplah wajah Ibumu. Wajah orang yang kita sayang ketika matanya tertutup sewaktu tidur.. Wajah yang menyimpan sejuta rahsia yang mungkin tidak kita ketahui. Tataplah jika berkesempatan sebelum Ibu menutup mata buat selama-lamanya..

Anak.. Sesekali peganglah tangan Ibumu.. Ciumlah wajah Ibumu.. Katakan kepada Ibu betapa kamu menyayanginya.. Berterima kasih kepada Ibu.. Mohonlah kepadaNya dan katakan dengan penuh kasih kepada Ibu bahawa kamu akan menjaga Ibu. Pasti senyuman terukir di wajah Ibu yang tersayang.. Kata-katamu telahpun membahagiakan Ibu malah saat itu Ibu telahpun berdoa untuk kamu, anaknya. Oleh itu, sekiranya Ibu sudah tidak berdaya, biarlah kamu diberi peluang berbakti kepadanya.. Suapkan Ibu.. Mandikan Ibu.. Sikat rambut Ibu.. Menemani Ibu.. Lakukan semuanya dengan penuh kasih sayang sebagaimana Ibu membelai kamu sejak kamu dilahirkan sehingga kamu dapat lakukannya sendiri..

Ibu.. Halalkan segala titisan susu dan pengorbananmu buatku..
Ibu.. Doakanlah anakmu selalu kerana doamu kekuatan dan keberkatan hidupku..
Ibu.. Ampunilah segala dosa anakmu..
Ibu.. Syurgaku di bawah telapak kakimu..
Alhamdulillah. Terima kasih Ibu..


P/s : Purple Gifts bersyukur masih diberi peluang untuk menatap wajah ibu, mencium tangan Ibu, memeluk Ibu.. Semoga Allah memberi peluang kepadaku untuk membahagiakan hati Ibu dan ku mohon agar diriku terlindung daripada tingkah laku yang dalam diam menyakiti hati Ibuku.. Bahagiakanlah Ibuku..Amin

No comments:

Post a Comment