Tuesday, 15 November 2011

HAK-HAK ANDA SEBAGAI PEKERJA

Panduan ringkas ini hanya berupa maklumat atau info asas kepada para individu/organisasi yang ingin mendapatkan serba sedikit maklumat berkenaan hak-hak dan keistimewaan sebagai pekerja. Segala maklumat diperoleh dari sumber rujukkan yang dipercayai dan sahih iaitu MTUC ( Malaysian Trade Union Congress ), NAMM ( Networks of Action for Migrants in Malaysia ), Lawyerment ( Malaysia Online Legal Resources ) dan buku-buku mengenai akta-akta pekerja seperti Employment Act 1955, Industrial Relation Act 1967 dan Trade Union Act 1959.

Hak pekerja

Pada hari ini, dengan kesedaran dikalangan rakyat yang makin tinggi, pendedahan pihak media semakin meluas keberanian dan ketegasan pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan ( NGO ) menyaksikan nasib pekerja-pekerja dinegara ini semakin terbela.

Pelbagai dasar, undang-undang dan akta digubal demi menjamin hak-hak dan keistimewaan pekerja sentiasa dibela. Setiap pekerja memiliki hak-hak keistimewaan tersendiri dan mampu menikmati kesenangan menerusi kuasa yang diterima.

Menyentuh mengenai keistimewaan yang diperoleh oleh para pekerja, masih ramai lagi yang belum mengetahui sejauh manakah pekerja-pekerja di Malaysia mendapat hak pembelaannya.

Hubungan antara pekerja dan majikan adalah dilindungi dibawah Akta Pekerja 1955 ( Employment Act 1955 ). Akta ini secara amnya meliputi dan melindungi hak-hak pekerja didalam hubungan pekerjaan. Ianya menyediakan faedah-faedah minimum dan hak-hak pekerja seperti had masa bekerja, bilangan hari cuti tahunan dan cuti am, minimum kerja lebih masa, bilangan hari cuti sakit, hospital, cuti bersalin dan sebagainya.

Setiap pekerja seharusnya mempelajari dan mengetahui kandungan-kandungan Akta ini dan tidak ragu-ragu untuk mengingatkan majikan dan jika perlu mengambil tindakan terhadap majikan-majikan yang gagal mematuhi segala perincian yang terkandung dalam undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Dibawah ini disediakan soalan-soalan mengenai hubungan antara pekerja dan majikan yang seringkali menjadi pertanyaan dikalangan pekerja-pekerja. Ia menjadi satu panduan asas untuk anda dalam memelihara hak dan kesitimewaan anda sebagai pekerja.

 
Antara soalan-soalan yang sering menjadi isu mengenai hak pekerja.
 
1 ) Apakah golongan pekerja yang dilindungi di bawah Akta Kerja 1955?

Semua pekerja yang mendapat gaji tidak melebihi RM1,500.00 sebulan, dan seseorang pekerja yang melakukan kerja tanpa mengira jumlah upah sebulan. Selain itu, pekerja dengan Kontrak Perkhidmatan turut dilindungi di bawah akta tersebut. Ini tidak bermakna jika anda berpendapatan melebihi RM1500 sebulan hak anda tidak dilindungi, anda tetap mempunyai hak-hak dan keistimewaan tetapi ianya adalah dibawah akta-akta yang lain. Anda perlu faham, setiap pekerja tidak hanya dilindungi oleh satu akta, tetapi pelbagai akta, jika mereka adalah tergolong dalam akta tersebut. Ini bermakna anda sebenarnya dilindungi oleh lebih dari satu akta.

2 ) Apakah definasi Kontrak Perkhidmatan?

Sebarang perjanjian (sama ada lisan atau bertulis dan sama ada dinyatakan atau dibayangkan) di mana seseorang itu bersetuju untuk mengambil seseorang yang lain bekerja dan pekerja itu pula bersetuju untuk berkhidmat kepada majikannya sebagai seorang pekerja. Pekerja tersebut juga mempunyai hak untuk mendapat dan menyimpan salinan Kontrak Perkhidmatan ini.

3 ) Adakah Buruh atau Pekerja Migran tergolong di dalam Akta Kerja 1955?

Ya.

4 ) Apakah hak-hak pekerja yang terkandung dalam Akta Kerja 1955?

Berbagai jenis hak pekerja termasuk jumlah jam kerja maksima, kerja lebih masa dan kadar pembayaran gaji, cuti am berbayar, cuti tahunan berbayar, cuti sakit berbayar, gaji dan jenis potongan yang dibenarkan kepada majikan, cuti bersalin dan lain-lain lagi.

 
5 ) Apabila seseorang pekerja sudah menandatangani kontrak dengan majikan, adakah pekerja itu boleh terus berpegang kepada Akta Kerja 1955?

Ya, dia boleh. Jika hak yang terkandung dalam Akta Kerja adalah lebih baik daripada apa yang terkandung dalam Kontrak Perkhidmatan, pekerja berhak mendapatkan hak sapertimana tercatat dalam Akta Kerja 1955. Jika hak terkandung dalam Kontrak Perkhidmatan adalah lebih baik daripada apa yang terkandung dalam Akta Kerja, pekerja berhak menuntuk hak yang lebih baik sapertimana terkandung dalam Kontrak Perkhidmatan tersebut.

6 ) Apakah definasi “ Waktu Kerja Biasa ” ?

“ Waktu Kerja Biasa ” ialah waktu kerja yang dipersetujui di antara majikan dan pekerja dalam kontrak perkhidmatan sebagai waktu-waktu kerja biasa dalam sehari. Waktu kerja biasa tersebut tidak boleh melebihi: 8 jam sehari tidak termasuk waktu rehat; 5 jam bekerja berterusan tanpa rehat sekurang kurangnya 30minit.

Pekerja mempunyai hak maksimum bekerja seminggu iaitu 48 jam. Atas persetujuan bersama, pekerja boleh bekerja 9 jam sehari tetapi tidak boleh melebihi 48 jam seminggu.

7 ) Apakah definasi „ kerja lebih masa ‟?

Kerja lebih masa bermakna bilangan jam kerja yang dilakukan melebihi masa kerja normal dalam satu hari.

8 ) Berapakah kadar bayaran untuk kerja lebih masa?

Kadar bayaran kerja lebih masa hendaklah sekurang-kurangnya seperti berikut:

- Pada hari kerja biasa, 1 ½ kali kadar gaji sejam untuk hari biasa. - Pada hari rehat, 1 ½ kali kadar gaji sejam untuk kerja hari rehat - Pada cuti am, 1 ½ kali kadar gaji sejam untuk kerja pada cuti am.

9 ) Apakah ada had kepada bilangan jam seseorang pekerja untuk dibenarkan bekerja lebih masa dalam satu bulan?

Seseorang pekerja tidak boleh bekerja lebih masa melebihi 104 jam dalam sebulan..

10 ) Apakah wajib bagi kontrak perkhidmatan untuk menyatakan tempoh gaji? Berapakah tempoh gaji yang sepatutnya?

Setiap kontrak perkhidmatan wajib menyatakan tempoh gaji yang tidak lebih daripada satu bulan. Sekiranya kontrak tersebut tidak menyatakan tempoh gaji tersebut, maka tempoh tersebut akan dikira sebagai sebulan.

11 ) Bilakah gaji harus dibayar kepada pekerja-pekerja?

Gaji pekerja perlulah dibayar tidak lewat dari hari ketujuh selepas tamat tempoh gaji. Majikan juga boleh memohon untuk melanjutkan masa pembayaran gaji daripada Ketua Pengarah Jabatan Buruh Semenanjung Malaysia.

12 ) Apakah potongan-potongan yang telah ditetapkan oleh undang-undang?

Potongan yang dibenarkan adalah seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan sumbangan keselamatan sosial (SOCSO). Selain itu, Akta Kerja juga membenarkan pemotongan untuk mendapatkan kembali gaji yang terlebih dibayar sebelum tempoh 3 bulan, dan juga untuk mendapatkan kembali apa-apa pendahuluan gaji yang telah diberikan, di mana jumlah tersebut tidak boleh melebihi nilai gaji bagi satu bulan.

13 ) Berapakah jumlah potongan gaji yang dibenarkan oleh undang-undang?

Jumlah maksima pomotongan gaji yang dibenarkan adalah jumlah yang tidak melampaui separuh gaji yang harus diterima oleh pekerja bagi bulan tersebut dimana, pekerja harus dibayar sekurang-kurangnya separuh daripada gajinya untuk setiap bulan.

14 ) Bilakah gaji perlu dibayar kepada pekerja jika berlaku penamatan kontrak perkhidmatan?

Gaji harus dibayar sebaik sahaja kontrak ditamatkan.

15 ) Apakah jenis pekerjaan yang dilarang wanita daripada melakukannya sejajar dengan Akta?

Jenis pekerjaan di mana seseorang wanita dilarang melakukannya adalah seperti berikut:

i. Kerja bawah tanah;

ii.Bekerja di sektor perusahaan/pertanian di antara pukul 10.00 malam sehingga 5.00 pagi tanpa pengecualian daripada Ketua Pengarah Buruh.

16 ) Berapakah cuti rehat untuk seorang pekerja di bawah Akta ini?

Setiap pekerja adalah layak untuk mendapat cuti selama satu hari penuh untuk setiap minggu.

17 ) Adakah tidak menjadi kesalahan dari segi undang-undang keatas majikan untuk meminta pekerjanya datang bekerja pada hari rehat?

Seseorang pekerja boleh dikehendaki oleh majikannya untuk bekerja pada hari rehatnya adalah seperti keadaan-keadaan berikut: kemalangan, sebenar atau diancam dalam tempat kerjanya; kerja yang mana perlaksanaannya adalah perlu kepada keselamatan masyarakat; kerja yang perlu bagi pertahanan atau keselamatan Malaysia; kerja segera yang harus dilakukan ke atas jentera atau loji; suatu gangguan kerja yang tidak mungkin dapat dijangka; kerja yang harus dilakukan oleh pekerja-pekerja dalam mana-mana kegiatan perusahaan yang perlu kepada ekonomi Malaysia atau mana-mana perkhidmatan perlu sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967

18 ) Bagaimanakah kadar bayaran kepada pekerja yang diminta untuk bekerja pada cuti rehat?

Seseorang pekerja yang dikehendaki bekerja pada hari rehatnya hendaklah dibayar bayaran satu hari tambahan gajinya atas kadar gaji biasanya. (iaitu 2 kali gaji hari kerja biasa)

19 ) Berapakah kelayakan cuti am bergaji pekerja dalam setahun?

Seseorang pekerja layak sekurang-kurangnya 10 hari cuti am bergaji dalam setahun. Dimana, 10 Hari Cuti Am tersebut adalah Hari Pekerja (Mei 1), Hari Kelahiran Yang Di Pertuan Agung, Hari Merdeka (Ogos 31), Hari Keputeraan Sultan atau Hari Wilayah Persekutuan, dan 6 cuti am yang lain yang majikan harus memutuskan dan memberitahu pekerja melalui notis pada permulaan setiap tahun.

20 ) Bagaimanakah kadar bayaran kepada pekerja yang diminta bekerja pada hari cuti tersebut?

Seseorang pekerja layak mendapat 2 hari gaji sebagai tambahan pada kadar gaji biasa jika pekerja bekerja pada hari tersebut. (iaitu 3 kali gaji hari kerja biasa)

21 ) Berapa harikah kelayakan cuti tahunan bagi seseorang pekerja?

Bekerja kurang dari 2 tahun:

- 8 hari setiap tahun Lebih dari 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun

- 12 hari bagi setiap tahun 5 tahun

dan lebih - 16 hari bagi setiap tahun

Di mana seorang pekerja yang mengambil cuti tahunan berbayar, berhak untuk cuti sakit berbayar atau mendapat cuti bersalin semasa dalam masa cuti tahunan, dan cuti tahunan berbayar akan dianggap belum diambil untuk hari-hari pekerja tersebut mengambil cuti sakit berbayar atau cuti bersalin.

22 ) Berapakah kelayakan cuti sakit seseorang pekerja dalam setahun?

Kelayakan cuti sakit bergaji setahun adalah:

Kurang dari 2 tahun perkhidmatan - 14 hari Lebih dari 2 tahun tetapi kurang dari 5 tahun - 18 hari 5 tahun dan lebih - 22 hari Di mana hospitalisi diperlukan sehingga 90 hari untuk cuti bersalin

23 ) Apakah keadaan yang menyebabkan pekerja tidak layak mendapat cuti sakit bergaji?

Pekerja tidak layak mendapat cuti sakit bergaji bagi tempoh di mana pekerja berhak mendapat elaun bersalin atau menerima pampasan bagi ketidakupayaan di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 atau Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

24 ) Apakah keadaan yang boleh menyebabkan pekerja tersebut melanggar Kontrak Perkhidmatan?

Seorang pekerja dianggap melanggar kontrak perkhidmatannya apabila dia berterusan tidak hadir kerja selama lebih daripada 2 hari bekerja berturut-turut tanpa kebenaran daripada majikannya. melainkan ia mempunyai alasan yang munasabah bagi ketidakhadhirannya itu, dan telah memberitahu atau telah mencuba memberitahu majikannya tentang alasan itu sebelum atau semasa awal ketidakhadhiran tersebut.

25 ) Di dalam keadaan apakah pula majikan dianggap melanggar Kontrak Perkhidmatan?

Seorang majikan dianggap telah melanggar kontrak perkhidmatan apabila gagal membayar gaji dalam tempoh tidak lewat daripada hari ketujuh selepas jangkamasa upah yang sepatutnya diberikan oleh seseorang majikan kepada pekerjanya.

26 ) Berhakkah bagi seorang majikan itu menamatkan kerja seorang pekerja tempatan, dan kemudiannya mengambil seorang pekerja migrant bekerja?

Tidak. Seorang majikan tidak boleh menamatkan kontrak perkhidmatan seorang pekerja tempatan bagi tujuan untuk mengambil seorang pekerja migrant atau pekerja asing.(seksyen 60M)

27 ) Bolehkah seorang majikan memberikan layanan berbeza kepada pekerja tempatan dan pekerja asing?

Tidakboleh, majikan hendaklah memberikan layanan yang sama kepada pekerjanya tidak kiralah pekerjanya merupakan rakyat tempatan ataupun asing. Jika pekerja tempatan mahupun asing merasakan wujudnya diskriminasi terhadap mereka berkenaan keadaan kerja atau selainnya, mereka boleh membuat aduan kepada Pejabat Buruh. ( Seksyen 60L )

28 ) Apabila berlaku pembuangan kerja, siapakah yang akan mula-mula dibuang kerja?

Biasanya, prinsip yang diguna pakai adalah pekerja yang akhir sekali diambil masuk bekerja akan dibuang kerja terlebih dahulu. Tetapi, seksyen 60N Akta Kerja 1955 menyatakan bahawa “Sekiranya majikan dikehendaki mengurangkan tenaga kerjanya oleh sebab lebihan pekerja, maka majikan itu tidaklah boleh menamatkan perkhidmatan pekerja tempatan melainkan jika dia telah terlebih dahulu menamatkan perkhidmatan semua pekerja asing yang bekerja dengannya dalam bidang tugas serupa dengan bidang tugas pekerja tempatan itu. Kami tidak setuju, dan menyatakan bahawa seksyen 60N ini bukan sahaja tidak adil tetapi juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjamin kesamaan. Maka, seksyen 60N adalah tidak sah.

29 ) Apakah peraturan yang memperuntukkan kelayakan Faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara ( Termination and Lay-off benefits ) yang diliputi di bawah Akta ini?

Peraturan-peraturan Kerja (Faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara), 1980

Tahukah anda.. lebih 15 akta khas telah digubal untuk melindungi golongan pekerja di Malaysia. Jika anda merasakan anda tidak tergolong dalam sesuatu akta, ternyata anda silap, sebaliknya anda masih mempunyai hak dan keistimewaan sebagai pekerja dibawah pelbagai akta yang berlainan. Kesimpulannya... setiap golongan pekerja di Malaysia, tidak kira kerajaan mahupun swasta, semuanya dilindungi dibawah akta-akta yang sentiasa memihak kepada anda.

Banyak lagi yang perlu anda tahu mengenai hak-hak anda sebagai pekerja, mungkin juga sebenarnya anda sedang ditindas oleh majikan anda... tanpa anda sedari..

1 comment:

  1. di mana sy hendak membuat complain jika majikan mggunakan kuasa tanpa berasaskan hak pekerja... sepertinya kmi telah di tindas dari segi kerja lebih masa... seperti yg ttakluk kepada akta 1955 sebulan kita x bleh melebihi 104 jam bkeja... namun y demikian majikan kmi mendesak untuk melakukan kerja melebihi masa... jumlah jam pekerjaan sya bulan lalu adalah melebihi 104 jam.. sila bantu sy dlm hal ni..:)

    ReplyDelete